Friday, January 18, 2008

BANJIR: DAMPAK TERHADAP PENDUDUK DI KOTA TINGGI, JOHOR.

RANCANGAN PENGAJIAN PERBANDARAN DAN PERANCANGAN


AREA 3182
( METODOLOGI PENYELIDIKAN )


BANJIR: DAMPAK TERHADAP PENDUDUK DI KOTA TINGGI, JOHOR.
OLEH : NOORAZIRA BINTI ABD KADIR (AEA050343)




NAMA PENSYARAH : PROF. MADYA. DR. NORHASLINA HASSAN
NAMA PENYELIA : EN. ZUL AZMAN BIN ZAKARIA

1.0 BIDANG DAN TAJUK KAJIAN
1.1 BIDANG
Alam sekitar.
1.2 TAJUK KAJIAN
Banjir: Dampak terhadap penduduk di Kota Tinggi, Johor.

2.0 PENGENALAN
Banjir Kilat (Sheet Flood) merupakan kejadian yang berlaku oleh peningkatan intensiti hujan dalam jangkamasa yang singkat dan mengakibatkan kadar pengaliran air yang deras melalui saliran-saliran dimana kapasiti semasanya tidak mencukupi. Selain daripada itu, banjir kilat boleh ditakrifkan sebagai banjir tempatan yang berlaku di dalam masa yang singkat (Jabatan Pengairan dan Saliran, 1989). Ia merupakan aliran air di dalam sesuatu sistem saliran yang melimpahi tebing dalam masa yang singkat. Dalam istilah hidrologi, puncak aliran yang dihasilkan oleh sesuatu sistem saliran itu samada sungai, anak sungai, parit, longkang atau sebagainya mencapai had kadar alir yang tinggi. Masa yang diambil untuk aliran tersebut mencapai puncak adalah sangat singkat.
Sebenarnya banjir adalah suatu fenomena global yang boleh menghasilkan keadaan sama ada baik dan buruknya kepada manusia dan alam sekitarnya. Ia juga turut dipengaruhi oleh banyak faktor. Contohnya jumlah hujan yang lebat dalam masa yang singkat dan kerja-kerja pembangunan bandar yang dijalankan di sesuatu kawasan. Ini akan mengakibatkan kadar pengaliran air hujan melebihi kemampuan parit atau sungai-sungai untuk mengalir. Selain itu, sisa-sisa dan sampah sarap yang dibuang ke dalam longkang, sungai atau parit akan mengakibatkan ia tersumbat. Seterusnya hujan yang turun akan membanjiri kawasan tersebut akibat kegagalan air untuk mengalir.
Banjir kilat juga biasanya berlaku di kawasan yang padat dengan pembangunan seperti di bandaraya besar yang sedang dibangunkan atau yang telah membangun. Walau bagaimanapun, kejadian banjir kilat juga masih berpotensi berlaku di kawasan bandar-bandar kecil. Oleh itu, kejadian seumpama ini harus diambil perhatian yang serius oleh semua pihak supaya kejadian yang lebih teruk lagi tidak berulang.

3.0 PENYATAAN MASALAH
Semenanjung Malaysia menerima purata hujan lebat sepanjang tahun, terutamanya semasa musim Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya menyebabkan beberapa banjir bermusim dan juga banjir kilat akan berlaku setiap tahun. Hakisan tanih dan pemendapan hasil daripada aktiviti pembangunan yang pesat dan tidak terkawal terutamanya di bandar-bandar besar telah menyebabkan salah satu faktor wujudnya kejadian banjir kilat.
Apabila manusia mula melakukan kegiatan bagi tujuan pembangunan, keseimbangan ekosistem dan kitaran hidrologi telah diganggu secara disedari ataupun tidak. Jadi, gangguan kepada sistem ini telah mambawa kepada beberapa kejadian banjir khususnya yang berlaku di daerah Kota Tinggi, Johor. Fenomena banjir kilat juga telah membawa dampak kepada manusia dan persekitarannya. Masalahnya ialah banyak pihak seperti tidak prihatin kerana terlalu ingin cepat membangun sehingga melupakan ciri-ciri untuk memelihara dan menjaga alam sekeliling.
Walaupun fenomena ini tidak wujud dalam suatu jangkamasa yang panjang, tetapi kekerapan, jumlah kawasan yang terlibat dan impak ke atas masyarakat yang terlibat harus dikaji dan mencari pendekatan yang terbaik untuk menangani kejadian ini daripada terus berulang pada masa akan datang. Masalah banjir kilat ini boleh diatasi sekiranya semua pihak mematuhi peraturan-peraturan dan undang-undang dalam usaha memelihara alam sekitar. Banjir kilat terjadi bukan kerana masalah alam sahaja tetapi juga kerana kesilapan manusia sehinggakan mereka sendiri yang terpaksa menanggung akibat.

4.0 MATLAMAT DAN OBJEKTIF KAJIAN
4.1 MATLAMAT
Kajian ini bertujuan untuk melihat kesan banjir ke atas sosioekonomi penduduk setempat di Kota Tinggi serta langkah-langkah yang di ambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan dalam menangani permasalahan ini.
4.2 OBJEKTIF KAJIAN
4.2.1 Mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan kejadian banjir yang berlaku di kawasan kajian.
4.2.2 Mengkaji dampak banjir terhadap penduduk di Kota Tinggi terutama selepas banjir.
4.2.3 Menilai langkah-langkah yang telah dilakukan oleh pihak yang terlibat dalam menangani masalah banjir bagi mengurangkan kesan banjir kepada penduduk yang telah mengalami kerugian.
4.2.4 Mencadangkan pendekatan baru yang wajar dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan untuk mengatasi atau sekurang-kurangnya mengawal bencana banjir daripada terus berlaku..

5.0 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian ini dibuat adalah berkaitan dengan banjir. Fokus utama kajian yang akan dilakukan ialah untuk melihat dampak sosioekonomi akibat daripada kejadian banjir yang berlaku di daerah Kota Tinggi. Kajian ini juga akan dijalankan untuk mengetahui punca-punca yang telah menyebabkan kejadian ini berlaku. Seterusnya, melalui kajian yang akan dibuat ini juga diharapkan dapat membantu Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengatasi atau sekurang-kurangnya mengawal bencana banjir daripada terus berlaku.
Selain itu, melalui kajian ini maka secara tidak langsung dapat menilai pandangan mangsa-mangsa banjir dalam mencari jalan penyelesaian untuk mengelakkan kejadian yang sama daripada terus berulang. Hal ini amat diperlukan kerana kejadian banjir kilat ini sepatutnya tidak harus terjadi di sebuah Bandaraya yang terancang. Jelasnya, melalui kajian yang akan dilakukan ini diharap dapat dijadikan satu panduan yang berguna dan membantu dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul.
Dalam konteks yang lain pula, kajian yang akan dibuat dapat memberi satu pendedahan yang berguna kepada masyarakat umumnya mengenai isu dan persoalan banjir kilat. Ini penting agar mereka lebih faham apakah punca yang menyebabkan kejadian ini berlaku dan dampak yang akan diterima oleh mangsanya. Mangsa juga mempunyai risiko yang tinggi setiap kali berlakunya hujan lebat yang berpanjangan. Ini menggambarkan bahawa isu banjir kilat ini adalah begitu penting dan masyarakat perlu di beri pendedahan agar mereka dapat memahami isu ini dengan jelas.
Dalam pada itu, melalui kursus ini juga pengkaji memperolehi pengetahuan, pendedahan dan kemahiran dalam menjalankan kerja luar. Kajian yang akan dibuat ini juga diharapkan dapat menjadi rujukan kepada pelajar-pelajar yang akan mendalami lagi dalam bidang yang berkaitan perbandaran, geografi dan alam sekitar.

6.0 SKOP KAJIAN

Skop kajian ialah di kawasan kejadian banjir di daerah Kota Tinggi yang berlaku pada bulan Disember dan Januari lalu. Selain itu, aspek yang akan di lihat adalah mengenal pasti secara lebih terperinci tentang kawasan kajian, lokasi khusus yang terlibat dengan kejadian ini serta keadaan sebenar yang berlaku pada waktu tersebut. Secara umumnya, ia akan membincangkan tentang punca, dampak dan kawalan untuk mengatasi masalah tersebut.
Berdasarkan maklumat-maklumat banjir yang diperolehi akan dapat mengenal pasti punca sebenar banjir tersebut berlaku. Selain itu, pengkaji dapat melihat sejauhmanakah keberkesanan atau langkah yang telah di ambil oleh pihak yang terlibat dalam membendung masalah ini daripada terus berlaku.
Analisis yang dibuat adalah merujuk kepada data-data yang diperolehi daripada Jabatan Pengaliran dan Saliran Negeri Johor (JPS), Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) dan maklumat daripada Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

7.0 METODOLOGI KAJIAN
Dalam menjalankan kajian pelbagai jenis kaedah telah digunakan bagi mengumpul data dan maklumat berkaitan dengan kajian yang dijalankan. Bagi kajian ini beberapa kaedah telah di kenalpasti dan sesuai digunakan, antaranya adalah kaedah soal selidik , temu bual , dan beberapa sumber sekunder bagi mendapatkan data dan maklumat yang tepat. Antara kaedah yang di jalankan ialah:
1) Peringkat awal
1 Pemerhatian secara tidak langsung dari segi aspek fizikal dan masalah banjir
2 Temubual dan soal selidik penduduk
2) Peringkat pertengahan
3 Mendapatkan data dari perpustakaan, internet dan PBT
4 Menilai dan menganalisis data
3) Peringkat akhir
5 Membuat laporan
6 Cadangan dan langkah pengawalan
KAEDAH KAJIAN
1) Membaca
Melalui bahan bacaan dan laporan berkenaan kejadian banjir yang diperolehi daripada perpustakaan Utama Universiti Malaya, Perpustakaan Peringatan Za’ba, Universiti Malaya, Perpustakaan Negeri, Jabatan Pengaliran dan Saliran Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) serta maklumat tambahan yang diperolehi melalui internet.
2) Penerangan dan Perbincangan
Penerangan dan perbincangan daripada pensyarah dan penyelia kepada pelajar. Meliputi bahagian-bahagian dalam tajuk kajian yang ingin dikaji.
3) Instrument (temuramah dan soal selidik)
Temuramah dengan kakitangan JPS dan MDKT. Kaedah ini adalah bertujuan untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada seseorang informan. Kaedah ini penting kerana pengkaji akan memperolehi data dan maklumat terkini. Kaedah ini merupakan kaedah yang akan digunakan oleh pengkaji untuk memperolehi maklumat dan data-data tentang banjir kilat daripada responden di kawasan kajian. Kaedah ini digunakan dengan cara mengedarkan borang soal selidik untuk diisi oleh responden. Melalui kaedah ini pengkaji dapat membuat analisis melalui borang yang diisi oleh responden.
4) Pemerhatian
Memerhati secara langsung tentang kawasan kajian melalui aktiviti fizikal dan langkah-langkah mengatasi banjir yang dilaksanakan di kawasan kajian. Kaedah ini digunakan dari masa ke semasa untuk menilai dan melihat penyesuaian yang telah di buat oleh pihak yang berkenaan.
5) Membaca dan meneliti peta
Mengkaji dan melihat pusat bandar Kota Tinggi, tempat-tempat yang sering di landa banjir dan aliran Sungai Johor yang dikaitkan dengan banjir.
6) Merekod hasil pemerhatian dan maklumat
Mencatat hasil kajian dan maklumat dengan tepat. Mengumpul dokumen-dokumen penting kajian yang didapati daripada responden serta daripada jabatan-jabatan kerajaan untuk memudahkan analisis data.
7) Rumusan
Kaedah yang digunakan ini ialah untuk mengolah data dan menganalisa maklumat yang diperolehi daripada responden, JPS, MDKT, laporan-laporan banjir oleh pihak yang terlibat dan lain-lain. Dalam kaedah ini pengkaji akan menggunakan pendekatan crosstab, chi- square dan t-test melalui SPSS supaya kajian ini lebih sempurna.
KAEDAH PERSAMPELAN
Subset kepada populasi akan di pilih untuk digunakan sebagai rangka persampelan. Kemudian menentukan populasi sasaran iaitu sebanyak 100 responden yang menjadi fokus kajian ini. Satu set elemen yang di pilih daripada populasi dimana sampel ini mewakili ciri-ciri yang dimiliki oleh populasi. Jenis persampelan yang digunakan ialah persampelan bersistematik.
Persampelan ini dilakukan dengan mendapatkan anggaran senarai rumah di daerah Kota Tinggi dan kemudiannya membuat pemilihan secara bersistematik. Contohnya membahagikan bilangan penduduk dengan 100 responden sasaran. Hasil daripada jumlah itu kemudiannya akan digunakan sebagai selang antara senarai bilangan penduduk. Selepas itu, membuat pemilihan responden untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki.

No comments: